Polis menahan sepasang suami isteri di sebuah rumah di taman perumahan di Beranang, Selangor bagi membantu siasatan kes penderaan seorang kanak-kanak yang dipercayai dipukul dengan batang penyapu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, suspek yang ditahan merupakan seorang wanita tempatan dan seorang lelaki warga Singapura berusia lingkungan 28 hingga 30-an.

Menurutnya, polis menerima laporan polis berkaitan kes penderaan dan mencederakan budak itu pada pukul 12.14 tengah malam tadi.

“Kejadian dikatakan berlaku pada 18 Julai 2022 di sebuah Taman Perumahan di Beranang.

“Pengadu kes ini seorang lelaki berusia 20 tahun membuat laporan bahawa mangsa yang merupakan anak angkat kepada suami isteri terbabit, dicederakan atau didera oleh pasangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd. Zaid berkata, siasatan awal mendapati kejadian disebabkan mangsa tidak suka makan nasi dan suspek memaksa mangsa untuk telan nasi sehingga termuntah.

“Siasatan juga mendapati kanak-kanak ini dikatakan hiperaktif,” katanya.

Katanya, kanak-kanak perempuan berusia empat tahun itu merupakan anak kepada seorang warganegara Indonesia, yang mana kelahiran mangsa tidak pernah didaftarkan dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

“Mangsa diserahkan kepada suspek untuk dijaga sejak bulan April 2022 kerana ibu kandungnya tidak mampu menjaganya.

“Mangsa dikatakan dipukul oleh pasangan tersebut menggunakan penyangkut baju, batang kayu penyapu dan kadang-kadang dicucuh dengan pemetik api,” katanya lagi.

Mohd. Zaid berkata, selepas menerima laporan kejadian, polis Kajang bertindak menyelamatkan mangsa pada pukul 2.30 pagi hari sama laporan dibuat.

Mangsa katanya, dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.

Pasangan suami itu pula ditahan reman selama tujuh hari sehingga 28 Julai depan.

Kes disiasat di bawah Sekyen 31(1)(a) Akta Kanak kanak 2001.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubung mana-mana balai polis terdekat atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Suresh A/L Krishnan di talian 017-433 3795. — Majoriti

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.