Najib Razak melakar ‘sejarah baru’ buat dirinya apabila buat pertama kali berlakon dalam drama.

Bekas Perdana Menteri itu membuat penampilan khas dalam drama bertajuk ‘Tunjang’ yang mengisahkan kehidupan rakyat terutamanya orang Melayu ketika zaman pemerintahan bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan merasa amat bermakna dapat berlakon dalam drama yang berkait rapat dengan bapanya yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia yang kedua.

“Satu pengalaman baru dan pada saya satu pengalaman yang manis juga kerana ini kali pertama. Bukan saja saya dapat membawa watak yang berlainan daripada diri saya sendiri, tetapi mesej yang saya dapat sampaikan itu.

“Saya rasa amat bermakna sebab dalam drama Tunjang ni ia berkait rapat dengan Allahyarham Tun Abdul Razak.

“Gagasan, penubuhan, idea Felda itulah memang satu legasi Tun Razak yang kita semua banggakan,” katanya kepada Malaysiapost ketika ditemui di lokasi penggambaran drama itu, semalam.

Najib turut tidak segan silu berkongsi pengalaman baru itu di Facebook miliknya yang berjaya mencuri perhatian netizen kerana tidak menyangka beliau akan berlakon.

“Saya..tukar bidang lah. Pengarah cakap tak perlu audition. Macam best penggambaran. Saya masuk watak dalam drama Tunjang,” catat Najib sambil berseloroh.

Malah Facebook Najib dibanjiri komen netizen sejak semalam apabila beberapa hantaran yang memaparkan beberapa gambarnya beraksi dalam drama itu ternyata mencuit hati.

“Hmmm boleh tahan juga OOTD saya pakai topi ni. Ada macam James Bond zaman dulu-dulu.

“Baca komen-komen tadi. Suka ye korang tengok rambut saya macam ni. Nasib baik angin tak tiup tadi,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di ruangan komen, rata-rata netizen menzahirkan rasa teruja dan tidak sabar untuk menonton aksi Najib di kaca televisyen.

“Wah, bossku berlakon drama lah. Bila ditayangkan di TV, tak sabar nak tengok.

“Amboi DSN. Lawanya rambut palsu tu. Itu masa muda ke, tak sabar nak tengok drama ni.

“Hahahaha betul betul teruja ni, kelakar pn ada. Tapi okay je buat saya terhibur di hujung minggu ni. Bossku memang nampak segak. Tak kekok ke berlakon tu,” antara komen netizen. MP

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.