TOKYO: Bekas Perdana Menteri PM Jepun, Shinzo Abe disahkan meninggal dunia hari ini akibat cedera parah selepas ditembak individu tidak dikenali dalam satu insiden.

Pengumuman itu dibuat oleh pegawai kanan dari Parti Demokratik Liberal (LDP), lapor stesen penyiaran Jepun, NHK.

“Abe meninggal dunia di hospital di bandar Kashihara, wilayah Nara pada usia 67 tahun,” menurut laporan tersebut.

Abe ditembak kira-kira pukul 11.30 pagi waktu tempatan di Nara, barat Jepun.

“Seorang lelaki yang dipercayai suspek yang melepaskan tembakan kini sudah ditahan pihak berkuasa,” kata Ketua Menteri Kabinet, Hirokazu Matsuno.

Matsuno dalam pada masa sama mengecam insiden yang berlaku dan menegaskan pihak berkuasa negara ini tidak akan bertolak ansur dengan semua pihak yang terlibat.

Shinzo Abe dilaporkan ditembak ketika sedang berkempen di wilayah Nara hari ini, lapor media tempatan.

Beliau sebelum itu menyampaikan ucapan menjelang pilihan raya Dewan Perwakilan pada Ahad apabila bunyi tembakan kedengaran, menurut penyiar nasional NHK dan agensi berita Kyodo.

Berikutan tembakan itu, Abe, 67, rebah dan cedera di leher, sumber Parti Liberal Demokratik (LDP) memberitahu agensi berita Jiji.

LDP mahupun polis tempatan tidak dapat mengesahkan laporan dengan segera.

NHK dan Kyodo melaporkan Abe dibawa ke hospital dan dilaporkan berdepan situasi ‘cardo-respiratory arrest’ (fungsi jantung dan pernafasan terhenti).

Beberapa media melaporkan beliau kelihatan ditembak dari belakang, mungkin dengan senapang patah.

Abe, perdana menteri Jepun yang paling lama berkhidmat, memegang jawatan pada 2006 selama satu tahun dan sekali lagi dari 2012 hingga 2020.

Berikutan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an atas cubaan membunuh dan merampas sepucuk pistol, menurut NHK, memetik sumber polis. – AFP

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.