SEKURANG-KURANGNYA empat kanak-kanak maut manakala empat lagi cedera dalam insiden serangan di sebuah taska di Blumenau, Brazil pada Rabu.
Seorang lelaki berusia 25 tahun bersenjatakan kapak menyerang prasekolah itu mengakibatkan tiga kanak-kanak lelaki dan seorang budak perempuan berusia antara lima hingga tujuh tahun terbunuh.
Gabenor Santa Catarina, Jorginho Mello berkata, seorang lelaki dipercayai suspek berjaya diberkas.
Seorang pegawai polis memberitahu CNN Brazil bahawa suspek berusia 25 tahun, melompat melepasi pagar taman permainan pusat jagaan Cantinho Bom Pastor, sebelum menyerang kanak-kanak terbabit.
Dia kemudian melarikan diri selepas sekumpulan guru datang menyelamatkan kanak-kanak berkenaan, namun suspek menyerah diri kepada polis tidak lama kemudian, demikian menurut pegawai polis itu.
Mello yang kecewa dengan insiden itu bersolidariti bersama keluarga mangsa.
Presiden Luiz Inácio Lula da Silva juga turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa terlibat.
“Tiada penderitaan yang lebih besar daripada rasa kehilangan anak atau cucu, lebih-lebih lagi dalam insiden keganasan terhadap kanak-kanak yang tidak bersalah dan tidak berdaya,” tulis Lula di Twitter. — Agensi