ARACRUZ, BRAZIL – Sekurang-kurangnya tiga orang maut manakala 11 yang lain cedera selepas seorang remaja berusia 16 tahun melepaskan tembakan rambang di dua buah sekolah di tenggara Brazil, kata beberapa pegawai.

Pihak berkuasa bandar Aracruz, dalam negeri Espirito Santo berkata, suspek melepaskan tembakan ke arah sekumpulan guru di sekolah lamanya pada pagi semalam (waktu tempatan), yang telah membunuh dua orang serta mencederakan sembilan lagi.

Dia kemudian meninggalkan sekolah tersebut lalu pergi ke sebuah sekolah swasta, di mana suspek menembak seorang pelajar dan mencederakan dua yang lain.

Pihak berkuasa telah memberkas suspek, kata Gabenor Renato Casagrande yang mengisytiharkan tiga hari berkabung di negeri itu.

“Suspek ialah bekas pelajar (sekolah pertama) sehingga Jun lalu, yang merupakan remaja berusia 16 tahun.

“Keluarganya telah memindahkannya ke sekolah lain. Kami mempunyai maklumat bahawa dia sedang menjalani rawatan psikiatri,” kata Casagrande dalam satu sidang akhbar.

Rakaman televisyen litar tertutup yang disiarkan media tempatan menunjukkan suspek berlari ke arah sekolah dengan berpakaian seperti askar serta memegang sepucuk pistol.

Dia kemudian berlari dengan laju di koridor sekolah sebelum melepaskan tembakan, menyebabkan kakitangan sekolah bertempiaran lari.

“Dia sememangnya mahu menembak sesiapa sahaja. Dia menembak sesiapa sahaja yang lalu di hadapannya,” kata Casagrande. – AFP

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *