Gua Musang: Seramai 15 murid cedera apabila van dinaiki bertembung dengan sebuah lori balak dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di simpang tiga hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, di sini, hari ini.
Dalam kemalangan kira-kira jam 2 petang itu, dua daripada murid berkenaan dimasukkan ke Hospital Gua Musang untuk rawatan susulan.
Berdasarkan rakaman video tular di laman sosial, sebuah kenderaan dari arah bandar Gua Musang keluar dari simpang menuju ke sebelah kanan jalan.
Namun, pada masa yang sama datang sebuah lori balak dari arah kanan jalan dan cuba mengelak kenderaan terbabit.
Disebabkan jarak terlalu dekat lori balak melanggar bahagian kanan kenderaan berkenaan.
Pemandu lori balak yang tidak dapat mengawal kenderaan, masuk ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah van yang dinaiki murid sebelum kenderaan itu terbalik.
Difahamkan terdapat kira-kira 15 murid di dalam van terbabit dan dua daripadanya ditahan di wad untuk rawatan susulan dan 13 lagi hanya cedera ringan.
Artikel⚡Harian Metro