POLIS membuka kertas siasatan berhubung penganjuran majlis Hari Raya di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar.

Ia susulan dakwaan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti dilaporkan sebuah portal berita semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd Rosdi Daud berkata pihaknya telah menerima satu laporan polis susulan artikel mengenai majlis tersebut oleh portal Malaysia Dateline semalam.

Katanya, artikel tersebut mendakwa Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi telah melanggar SOP dengan melancarkan majlis Hari Raya pada 13 Mei lalu di Kolej Kediaman Ke-13 UPM.

“Program tersebut melibatkan kehadiran mahasiswa dan pihak pengurusan UPM serta dianjur sempena penyampaian sumbangan kepada mahasiswa dan jamuan Hari Raya.

“Berdasarkan gambar yang dimuat naik, kelihatan kehadiran tetamu dan mahasiswa ke program tersebut.

“Siasatan kini dijalankan di bawah Perkara 17 P.U (A) 225/2021 (Melanggar SOP PKP) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan kompaun RM2,000 ke atas pengunjung dan RM10,000 ke atas penganjur,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Rosdy berkata kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan segera untuk tindakan selanjutnya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *