Pelawak, Lan Pet Pet mengesahkan kes pergaduhannya dengan seorang penghantar barang sudah diselesaikan secara baik.

Lan atau nama sebenar Mazlan Ahmad, 52, berkata dia sudah berdamai dengan individu terbabit manakala laporan polis juga ditarik balik.

“Selepas bergaduh saya pergi buat laporan polis untuk diri sendiri. Penghantar makanan terbabit hanya buat laporan dua, tiga hari selepas itu.

“Apa pun saya berterima kasih kepada pegawai penyiasat yang panggil penghantar makanan ini dan kes kami selesai selepas bersemuka,” katanya dalam video penjelasan yang dikongsi di Instagram petang tadi.

Pada masa sama, anggota kumpulan Senario itu turut mengucapkan terima kasih kepada individu berkenaan kerana sedia berdamai.

Terdahulu, selepas beberapa hari mendiamkan diri, Lan yang ditemani peguam, Datuk Dr Aswandi Hashim tampil menjelaskan situasi sebenar berhubung penularan video pergaduhannya dengan penghantar makanan, baru-baru ini.

Menerusi video penjelasan berdurasi kira-kira 11 minit itu, dia memaklumkan menegur individu dimaksudkan yang melihat telefon sambil menunggang motosikal.

“Saya bunyikan hon kereta dan kemudian dia tak puas hati. Dia tunjuk bahasa isyarat (lucah) pada saya menerusi cermin pandang belakang dan saya pun berhenti.

“Dia buat provokasi tapi saya sabar. Dia marah pun saya sabar. Saya serang dia kerana takkan saya nak biarkan muka saya dipukul? Jadi berlakulah pergelutan,” katanya.

Menurut Lan lagi, dia sedar ketika kejadian seorang pemandu wanita di dalam kereta berhampiran merakam video yang kemudian tular.

“Saya tengok video tular ini dalam kumpulan WhatsApp dan tak puas hati. Saya terus buat laporan polis. Ia sudah menjadi kes lain pula sedangkan kami bergaduh hanya dalam beberapa saat,” ulasnya.

Lan turut berharap orang ramai tidak lagi salah faham terhadap dirinya selain terus memberikan sokongan.

Sementara itu, Aswandi berkata, orang salah faham hanya dengan menonton rakaman yang sebenarnya bukan pergaduhan tetapi lebih kepada perselisihan.

“Berkenaan video tular, komen (dilayangkan) seolah-olah menghakimi Lan menyeran. Itu adalah satu prasangka.

“Saya dihubungi Lan dan saya menasihatkannya supaya buat laporan polis. Ketika itu individu terbabit masih belum buat laporan polis,” katanya.

Tambah Aswandi, isu berkenaan kini sudah selesai malah bermakna tiada sebarang kesalahan yang dilakukan anak guamnya memandangkan individu terbabit menarik balik laporan.

“Kalau 100 peratus berpunca daripada Lan, saya yakin penghantar barang itu akan saman atas kecederaan atau kerugian yang dialami,” katanya. – K! ONLINE

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.