PAS diminta bersyukur dengan apa yang diperoleh dalam Muafakat Nasional (MN) dan semasa pentadbiran Perdana Menteri daripada Umno ketika ini yang mengekalkan jawatan Kabinet pimpinan parti itu.

Pengarah Komunikasi Pemuda Umno, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, berkata semasa Umno meraikan MN banyak pemimpin Pas merasakan jawatan seperti di Johor dan Pahang.

Menurutnya, pimpinan parti itu diberikan jawatan di Pejabat Menteri Besar dan dicipta jawatan untuk memberi kedudukan kepada Pas, tetapi parti berkenaan dilihat lupa budi apabila berpakat dengan Bersatu melawan Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Jangan lupa kerajaan negeri Perlis dan Pahang juga pernah beri peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas puluhan ribu sebulan ketika semaraknya MN. Malah lantikan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) negeri juga masih dikekalkan.

“Tetapi di Terengganu, Umno Terengganu diketepikan peruntukan khas Covid-19 sehingga Umno perlu buat bising bagi mendapat sedikit dana, itupun hanya kecil berbanding Adun Pas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang mendakwa Adun daripada parti itu di Pahang tidak menerima peruntukan daripada kerajaan negeri yang diterajui Umno.

Syed Mohd Johan mendakwa, Umno juga bernasib baik kerana tiada Adun Umno dalam kerajaan Pas Kelantan dan Terengganu, kalau tidak parti itu juga terpalit prestasi lembab dua kerajaan negeri Pantai Timur berkenaan.

“Kalau Umno yang perintah Kelantan, sudah pasti rakyat Kelantan dapat stesen bas baharu yang selesa berbanding stesen bas binaan kerajaan Pas yang diibaratkan kandang lembu. Kalau kisah bab air, Kelantan dan Kedah dah hampir senasib.

“Apapun, bersyukurlah Pas dengan nikmat yang diberikan, Orang tua tua pernah berkata..cakap siang pandang pandanglah, cakap malam tu kena dengar dengar bro!” sindirnya.

Sementara itu, beliau turut memuji Exco kerajaan negeri Kedah daripada Umno, Datuk Suraya Yaacob, yang menunjukkan prestasi tinggi dalam melaksanakan tugas walaupun mendapat halangan dari ketua agensi, lantikan Pas di bawah portfolio dipegangnya.

“Beliau (Suraya) sering dipuji sebagai Exco terbaik berbanding Exco dari Pas yang lain di Kedah. Mungkin kalau beliau tidak bekerja keras, orang sangka Kedah tiada Exco kerajaan negeri yang berfungsi.

“Hebat juga Perdana Menteri Umno (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) yang masih kekalkan Menteri/Timbalan Menteri Pas walaupun ramai persoal kerja buat mereka,” katanya.

Terdahulu Ahmad Fadhli dalam satu hantaran di Facebook mendakwa Adun daripada parti itu di Pahang tidak menerima peruntukan daripada kerajaan negeri yang diterajui Umno.

Menurutnya, Adun-Adun berkenaan tetap bekerja dengan penuh komitmen walaupun tidak menerima peruntukan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, membandingkan situasi itu dengan layanan diberikan kepada wakil rakyat Umno di negeri diterajui Pas.

Menurutnya, kerajaan Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah tetap memberi layanan baik kepada Adun-Adun Umno di negeri berkenaan termasuk menyalurkan peruntukan dan memberi jawatan dalam Exco Kerajaan Negeri serta GLC. 

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.