PAKATAN Harapan (PH) dilihat takut untuk berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam waktu terdekat dengan memberi pelbagai alasan termasuk bencana banjir bagi mengelakkan ia diadakan tahun ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Mohd Puad Zarkashi, berkata gabungan berkenaan khususnya PKR yang paling takut kerana masih kelam kabut dan belum bersedia.

Menurutnya, parti berkenaan juga bimbang jika keputusan pemilihan parti itu baru-baru ini diisytiharkan sebagai batal dan tidak sah.

“Banjir dijadikan alasan. Ketua Penerangannya Fahmi Fadzil kata lebih baik dana PRU-15 RM1 bilion itu digunakan untuk bantu mangsa banjir.

“Logik apa yang Fahmi pakai. Kalau tahun hadapan belanjanya tetap RM1 bilion. Tahun ini atau tahun hadapan sudah tentu bajet untuk PRU sudah diluluskan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Mohd Puad berkata, kerajaan yang cekap tahu bagaimana menguruskan banjir dan sudah tentu mempunyai peruntukan kecemasan untuk bencana alam.

“Jangan jadi macam kerajaan PH Pulau Pinang tahun 2017. Lim Guan Eng (bekas Ketua Menteri) menangis telefon Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Timbalan Perdana Menteri ketika itu) jam 3 pagi kerana berlaku banjir luar biasa di Pulau Pinang.

“Mengaku sahajalah PH belum bersedia. Rekod buruk PKR di Pilihan Raya Kecil (PRK) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor menghantui mereka.

“PKR belum jumpa fitnah sebesar 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Fitnah kapal tempur pesisir (LCS) gagal,” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.