UMNO akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini dalam penjara susulan sabitan kes berkaitan SRC International Sdn Bhd.

Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Majlis Kerja Tertinggi Umno (MKT) yang bermesyuarat hari ini, sebulat suara bersetuju untuk memohon mengadap bagi mempersembahkan warkah rayuan itu kepada Agong.

Menurutnya, bersama rayuan itu akan disertakan memorandum yang ditandatangani oleh seluruh kepimpinan Umno daripada 191 Bahagian termasuk Wanita dan Sayap-Sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno.

“Mesyuarat bulanan MKT Umno hari ini telah membincangkan beberapa perkara iaitu keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak semula sabitan dan hukuman berhubung dengan kes SRC.

“MKT mengambil maklum kedukacitaan dan keresahan yang amat sangat ahli-ahli Umno di akar umbi terhadap keputusan yang dilihat tidak adil.

“Ia seiring dengan kenyataan penghakiman yang dizahirkan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang turut menyatakan bahawa Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil dan wajar dibebas dan dilepaskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, MKT juga telah menerima memorandum daripada 191 Bahagian yang memohon agar kepimpinan tertinggi Umno membela bekas Presiden dan bekas Perdana Menteri yang banyak jasanya kepada rakyat dan negara itu.

“Setelah diperincikan, MKT merafak sembah menjunjung kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan kerendahan diri memohon ihsan Tuanku untuk mempertimbangkan pengampunan penuh buat Datuk Seri Najib sebagaimana kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, mesyuarat MKT Umno hari ini juga telah menetapkan tarikh Perhimpunan Agung Umno (PAU) bagi tahun 2023 akan diadakan pada 7 hingga 10 Jun 2023. MP

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *