Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menzahirkan rasa kecewa mereka apabila siasatan kematian Muhammad Adib Mohd Kassim masih belum menampakkan sebarang hasil meskipun ia didakwa sudah di peringkat akhir pada Dis tahun lalu.

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya, berkata tempoh siasatan kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat itu sudah berlalu terlalu lama namun belum ada tindakan tegas diambil.

“Rakyat masih tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya, manakala pihak keluarga arwah pula semakin tertekan.

“Apa yg menghalang pihak polis? Adakah berlaku campur tangan politik atau memang polis masih menunggu maklumat lagi?

“Kes ini sudah berlaku lebih dua tahun… berapa lama lagikah polis perlukan masa?” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Aminuddin berkata demikian ketika diminta mengulas status siasatan polis berhubung kematian anggota bomba yang menarik perhatian ramai pada 2018 itu.

Muhammad Adib merupakan anggota bomba yang bertugas di balai Subang Jaya yang mengalami kecederaan parah semasa bertugas di pekarangan Kuil Sri Mahamariamman pada 27 Nov 2018.

Janji beri keadilan

Dia akhirnya menghembus nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Dis 2018. Bagaimanapun punca kematiannya dipertikaikan sama ada akibat diserang atau kerana kemalangan.

Inkues yang dijalankan memutuskan – pada 27 Sept 2019 – kematian Muhammad Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Namun sehingga kini belum ada mana-mana orang ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh.

Semalam, bapa Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid meluahkan rasa kecewa dengan kelewatan pihak berkuasa menyelesaikan kes kematian anaknya .

Menurut Mohd Kassim, kelewatan kes tersebut memperlihatkan pihak berkuasa seolah-olah mengambil sikap sambil lewa dan menganggap ia bukan masalah kepada negara.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustafa yang dihubungi Malaysiakini berkata pihaknya tidak akan berputus asa memperjuangkan kes kematian Muhammad Adib.

Menurut Mohd Zai, pihaknya akan terus mendesak kerajaan memberikan keadilan yang sewajarnya buat pemuda terbabit.

“Ummah dah hantar memorandum kepada menteri undang-undang sebelum sidang Parlimen lepas dan menteri dah janji untuk usahakan keadilan kepada keluarga Adib,” katanya.

Mengenai langkan mendatang, Mohd Zai berkata, Ummah akan menghantar memorandum kepada peguam negara yang baru agar siasatan baru dibuka.

Turut akan dibuat, katanya, ialah menghantar memorandum sama kepada ketua polis negara.

Sebelum ini, polis pernah mencadangkan satu inkues baru diadakan semula berikutan terdapat saksi baru yang akan tampil memberi keterangan berhubung kematian berkenaan.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *