SEREMBAN: Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi menyifatkan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bersikap sombong apabila menolak untuk bekerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, GTA cuba bekerjasama dengan kedua-dua gabungan parti politik itu kerana ramai yang melihat ia mampu membawa kemenangan dalam berdepan Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada pilihan raya umum akan datang.

“Ramai rakyat berkata, kalau parti-parti lawan ini tidak bertelingkah sesama mereka, besar kemungkinan mereka akan menang.

“Jadi kami cuba mahu bekerjasama dengan PN dan PH tetapi mereka nampak lebih yakin dan boleh menang dengan sendiri, tidak mahu berunding dengan kami pun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan GTA Negeri Sembilan Bersama Negarawan di sini malam tadi.

Penasihat parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu ketika berucap turut berkata, GTA sentiasa berjuang untuk orang Melayu dan percaya kepada perpaduan khususnya antara orang Melayu.

“Kalau mahu mencapai kejayaan, orang Melayu perlu bersatu padu, dan kami berusahalah untuk menyatupadukan kami dengan parti melayu yang lain, PN dengan PKR dan Amanah tetapi mereka begitu sombong dengan menolak untuk bersatu dengan GTA.

“Mereka menolak kami, tetapi kami tidak menolak mereka, tetapi mereka percaya mereka dengan sendirinya dapat mendirikan kerajaan,” kata beliau.

Dr. Mahathir turut mendakwa, perjuangan PN dan PH hanyalah untuk menjadikan pemimpin mereka sebagai Perdana Menteri dan bukannya berjuang untuk rakyat.

“Seronok bukan main untuk jadi Perdana Menteri (PM), saya sudah jadi PM (selama) 24 tahun, setakat yang saya tahu, jadi PM ini, tidak dapat tidur, banyak kerja kena buat, orang telefon tidak henti-henti, balik rumah ada orang tunggu membawa masalah mereka untuk pandangan dan tindakan oleh PM.

“Mereka ini cuma nampak setakat nak jadi PM, dapat kuasa, dapat gaji besar, dapat kereta, dapat kapal terbang, itulah kehendak mereka,” katanya.

Beliau menjelaskan, GTA hanya akan menentukan calon Perdana Menteri daripada gabungan sekiranya memenangi PRU15.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *