Meskipun hampir lima tahun meninggalkan UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui masih menyayangi parti itu.

Bagaimanapun, tegas bekas Perdana Menteri itu, sayangnya hanyalah terhadap UMNO namun bukan kepada pemimpin partinya.

Bahkan, beliau yang pernah menjadi Presiden UMNO selama 22 tahun turut mengakui boleh pulang kepada parti lamanya itu, jika ia kembali berpegang kepada dasar awal iaitu berjuang untuk bangsa, agama serta negara.

“Saya boleh kembali kepada UMNO tapi orang yang penyangak-penyangak semua minta maaflah, saya tak boleh bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Bersama Tun M’ yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar anjuran Sinar Harian, hari ini.

Pada 2016, Dr Mahathir mengumumkan penarikan diri dari parti UMNO berkuat kuasa serta-merta berikutan tidak berpuas hati dengan kepimpinan presiden ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Penarikan diri Dr Mahathir daripada UMNO bukanlah kali pertama ketika itu, kerana beliau pernah bertindak sama pada tahun 2008 sewaktu parti itu dipimpin Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun, tindakannya pada 2016 menyebabkan wujudnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) – di mana beliau juga tidak lagi bersama parti itu tahun lalu akibat kemelut politik pada Februari 2020.

Beliau kini mengasaskan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) – masih belum didaftarkan secara rasmi – yang dipimpin oleh anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Presiden.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.