Banyak lantikan jawatan yang dibuat semasa zaman Pakatan Harapan (PH) kini digantikan kerana tidak menyokong kerajaan sekarang, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, meskipun dahulu mereka dipilih daripada kalangan orang yang pandai dan berkebolehan, akhirnya mereka ditukarkan dengan “orang yang tidak begitu pandai” selepas kerajaan bertukar.
“Waktu ini saya dapati ramai orang yang dilantik sudah dipindah, sudah diturunkan pangkat, kononnya kerana mereka ini tak begitu sokong kerajaan (sekarang). Itu jadi masalah kepada kita.
“Orang yang kita pilih – yang pandai, profesional, yang berkebolehan – ditukar untuk orang yang tak begitu pandai, tetapi penyokong (kerajaan). Inilah yang sedang berlaku sekarang,” katanya dalam rancangan temu bual Minda Profesor Negara petang semalam.
Kata Mahathir, hal itu berlaku kerana pelantikan jawatan itu bergantung kepada nama yang dikemukakan perdana menteri dan membayangkan keadaan pasti berubah jila pelantikan jawatan terbabit diserahkan kepada parlimen.
“Kalau kita pilih siapa pun, dia nak tahu masa depan dia macam mana. Kalau dia dapati perdana menteri berkuasa menentukan nasib dia, dia tunduk kepada perdana menteri.
“Sebab itu kita bercadang pemilihan jawatan-jawatan tertinggi hendaklah dibuat oleh parlimen dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong. Dengan itu, dia (yang dilantik) kena jaga parlimen, kerana parlimen ini ada pembangkang dan kerajaan.
“Jadi dia kena puaskan hati semua pihak,” katanya.