PETALING JAYA – Belum sempat hidang sambal sotong buat dimakan pada 4 Syawal, masakan tersebut terpaksa dibuang gara-gara seekor anak biawak terjatuh dari siling rumah ke dalam periuk.
Tragedi raya tersebut diceritakan semula oleh Habibi Kassim menerusi kumpulan Facebook, Masak Apa Tak Jadi Hari Ini Official semalam.
“Tragedi 4 Syawal. Kisah ‘si tanggang’. Alkisahnya, adik sis (isteri) tengah masak-masak, berborak-borak, bergosip-gosip di dapur dengan mak dan anak-anak buah semua.
“Kononnya nak tunjuk bakat memasak dah semakin baik. Mak dah bagi arahan, masak separuh sahaja, simpan sikit sotong, tapi disebabkan dia bantah, Allah bayar ‘cash’.
“Tiba-tiba, si biawak ini buat terjunan papan anjal dari atas siling rumah terus tepat ke dalam periuk sambal sotong yang tengah masak,” kongsinya yang mengenangkan semula kejadian tersebut.
Katanya lagi, mereka sekeluarga rugi tiga kilogram (kg) sambal sotong tersebut kerana sudah tercemar.
Bercerita lanjut, kongsinya, anak biawak tersebut mati serta-merta apabila tenggelam di dalam sambal yang panas.
“Mati serta-merta tanpa sempat mintak tolong. Tapi dia (anak biawak) sempat bertentang mata dengan adik. Fobia dia satu hari,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai terhibur membaca kisah yang dikongsikan pengguna tersebut.
Ada beberapa pengguna lain turut berkongsi pengalaman mereka masing-masing yang hampir sama dengan insiden berkenaan.
“Saya pernah juga terpaksa buang rendang dekat lima kg masa malam raya gara-gara ‘bapak tikus’ terjun dari atap rumah kampung mak saya.
“Kami masak menu raya di luar rumah, sebab dapur sempit, tak sempat rendang nak kering, boleh pula ada yang terjun masuk, memang menangis tak berlagu la kami sekeluarga, akhirnya pagi raya masak ayam kicap sahaja,” kongsi Azalina. – KOSMO! ONLINE