Bagi masyarakat Cina di negara ini, sambutan Tahun Baru Cina dilihat seolah-olah tidak lengkap tanpa Yee Sang yang menjadi penyeri buat setiap acara makan besar.
Dengan campuran hirisan sayur-sayuran seperti lobak merah dan lobak putih, halia, kepingan ikan mentah serta kekacang yang ditumbuk, ditambah pula dengan sos plum dan jus limau, menjadikannya begitu menyelerakan bagi sesiapa sahaja yang bertuah dapat menikmatinya.
Yee Sang yang merupakan antara hidangan tradisi dan popular tahun baharu mempunyai maksud yang tersendiri berdasarkan bahan yang digunakan, sejarah dan sebutan nama makanan itu.
Menurut kepercayaan masyarakat Cina, terdapat beberapa jenis makanan tradisional termasuk Yee Sang yang dilihat sebagai simbol kepada kemewahan, kekayaan, kebahagian dan kemakmuran.
Dalam bahasa Cina, Yee bermaksud ‘Ikan’ yang juga mempunyai persamaan sebutan dengan perkataan ‘senang’ dan Sang bermaksud ‘mentah’ yang sering disamakan dengan ‘kelahiran semula’.
Sejarah Yee Sang
Yee Sang dipercayai mula dihidangkan kira-kira 1,500 tahun yang lalu di kawasan pantai selatan China terutamanya di wilayah Chaozhou dan Shantou semasa pemerintahan Dinasti Song.
Ia dikaitkan dengan sebuah legenda atau mitos iaitu Dewi Nu Wa yang kononnya mencipta manusia pada hari ketujuh selepas tahun baharu dan hidangan Yee Sang disediakan oleh kaum nelayan dan pelaut China Selatan ketika itu bagi memperingati kisah itu.
Idea menghasilkan hidangan ini muncul ketika zaman Dinasti Song kerana terdapat lebihan makanan seperti keropok, lobak merah, lobak putih, limau bali, halia dan sebagainya selepas merayakan Tahun Baru Cina.
Bagi mengelakkan pembaziran, lebihan makanan itu akan ditambah dengan perasa seperti sos plum, lada hitam dan putih serta minyak untuk membangkitkan rasa.
Tradisi Yee Sang mula popular di Negeri Sembilan
Walaupun Yee Sang berasal dari Tanah Besar China, namun masyarakat di sana tidak pernah mendengar apatah lagi mempraktikkan budaya memakan dan menggaul hidangan itu ketika Tahun Baru Cina.
Namun, perniagaan Loke semakin perlahan selepas Jepun menyerang Tanah Melayu. Masyarakat Cina pada masa itu terpaksa berjimat untuk berbelanja pada musim perayaan mereka.
Untuk membangkitkan kembali semangat mereka, Loke cuba menghidupkan tradisi masyarakat Kantonis dengan mengolah semula resipi Yee Sang.
Beliau mencadangkan untuk menikmati Yee Sang, perlu dalam suasana jamuan dan ceria.
Pelanggan mula menyukai gaya persembahan Yee Sang dan kemudian makin terkenal hingga menjadi tradisi setiap kali perayaan.
Jika dahulu Yee Sang hanya dihidangkan semasa Tahun Baru Cina, namun seiring dengan peredaran masa, Yee Sang mula dijual di restoran-restoran Cina, hotel-hotel dan gedung membeli-belah kira-kira sebulan sebelum tibanya hari perayaan.