Mesyuarat yang mendapat perhatian umum melibatkan ‘Top 5’ UMNO yang dikatakan akan membincangkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), bermula sebentar tadi.

Ia dihadiri Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan; dan tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Datuk Seri Mahdzir Khalid; dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Perkara itu dikongsikan Mohamed Khaled menerusi Facebooknya.

Bekas Menteri Besar Johor itu turut memuat naik gambar kelima-lima mereka sedang bermesyuarat.

Difahamkan, mesyuarat itu berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn di ibu negara.

Sebelum ini, UMNO memaklumkan perkara berkaitan tarikh PRU akan dibincangkan dalam kalangan ‘Top 5’ parti itu.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO pula akan bermesyuarat malam ini yang antara lain akan turut membincangkan isu PRU-15 selain persiapan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya itu.

Bulan lalu, Ismail Sabri memberi bayangan beliau akan berjumpa ‘top five’ UMNO untuk membincangkan tarikh PRU-15 sebelum pembentangan Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini.

“Macam saya beritahu sebelum ini apa sahaja keputusan yang dibuat kita tunggu ‘top five’ UMNO bermesyuarat,” katanya.

Kelmarin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata semua ahli MT boleh membangkitkan sebarang isu untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Khas MT.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas apabila ditanya sama ada PRU-15 turut dimasukkan sebagai satu daripada agenda utama yang akan dibincangkan nanti.

“Mesyuarat (Khas MT UMNO) pada 30 September ini adalah mesyuarat bulanan parti. Biasanya, ia akan membincangkan isu-isu semasa. Mesyuarat ini adalah rutin parti setiap bulan. Begitulah juga pada mesyuarat bulan-bulan sebelum ini, isu semasa juga dibincangkan.

“Bagaimanapun semua Ahli MT boleh bercakap apa juga tajuk yang sesuai,” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *