PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyelar sikap pemimpin politik yang ‘kelabu mata’ dengan tawaran jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan EXCO sehingga sanggup menggadai prinsip parti.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, rakyat yang dapat menilai dan memahami situasi itu harus menolak pemimpin berkenaan daripada berkuasa.

“Malangnya hari ini, apabila (pemimpin politik) ditawarkan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar, EXCO dan sebagainya, terus kelabu mata untuk menerimanya dan sanggup menggadaikan prinsip. Kita sebenarnya belajar daripada siapa?

“Maka, rakyat yang melihat dan memahami mesti menolak jenis pemimpin seperti ini,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata demikian dalam ceramah kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, malam tadi.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, pemimpin harus meneladani sikap Rasulullah yang tegas menolak tawaran pemimpin Musyrikin Makkah seperti mana yang tercatat dalam sirah Nabawiyyah.

Katanya, Rasulullah ditawarkan dengan pelbagai kenikmatan termasuk jawatan raja, harta kekayaan dan wanita semasa fasa Makkiyyah asalkan Baginda meninggalkan dakwah Islamiah.

“Baginda SAW dengan tegas menolak tawaran tersebut. Walhal boleh saja Nabi Muhammad SAW menerima tawaran tersebut, kerana dengan kuasalah Baginda mampu melakukan apa-apa sahaja.

“Namun, Nabi SAW menolak kerana Islam tidak dapat memimpin dan perlu menuruti kehendak orang kafir Quraisy.

“Selepas berhijrah ke Madinah, barulah Rasulullah SAW menjadi pemimpin Madinah kerana Islam sudah boleh memimpin dan menyatupadukan seluruh masyarakat majmuk di sana,” katanya.

Justeru, Abdul Hadi mengajak pengundi DUN Tioman untuk bersama PN bagi melakukan perubahan dan membina kepimpinan negara secara istiqamah berdasarkan petunjuk Allah SWT.

Untuk rekod, PRU15 DUN Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan seorang Bebas.

Calon wanita tunggal Nor Idayu Hashim yang mewakili PN dicabar oleh calon BN Datuk Seri Mohd Johari Hussain yang juga penyandang kerusi itu.

Selain, Osman A Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas)

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *