PEMUDA Umno menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak layak dilantik sebagai calon Perdana Menteri kerana menolak cadangan Yang di-Pertuan Agong bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan perpaduan.

Pengarah Komunikasinya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, berkata tindakan menolak cadangan Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Perikatan Nasional (PN) bertolak ansur membentuk kerajaan perpaduan adalah satu perbuatan biadap.

“Meskipun hanya PN menang 73 kerusi Parlimen sahaja, Muhyiddin menunjukkan sikap angkuh pada Yang di-Pertuan Agong dan tetap berdegil enggan mengalah pada nasihat baginda.

“Sikap tersebut adalah tidak wajar bagi seorang negarawan yang sepatutnya berjiwa besar pada hasrat murni Yang di-Pertuan Agong yang mahu melihat perpaduan kembali terjalin di kalangan rakyat setelah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, Muhyiddin yang merupakan Pengerusi PN tidak wajar terus membudayakan politik dendam, dan perlu menghormati proses demokrasi negara berbanding ego politiknya yang berterusan.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Melaka, Fairul Nizam berkata, Muhyiddin seharusnya menghormati Yang di-Pertuan Agong, bukan mengingkari dengan membuat kenyataan kepada media membantah cadangan itu.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong mencadangkan kerajaan perpaduan antara PH dan PN, namun ditolak Muhyiddin.

Pengerusi PN itu berkata, partinya telah memutuskan sebulat suara menolak kerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan perpaduan. 

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *