AMK mempersoalkan kredibiliti kerajaan Perikatan Nasional (PN) susulan isu seorang Timbalan Menteri bercuti ke luar negara ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mempersolakan perkara itu kerana ketika ini petugas barisan hadapan bertungkus lumus ‘berperang’ dengan Covid-19 selain rakyat diarah mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Sehubungan itu, beliau harian bagaimana seorang timbalan menteri boleh memohon cuti selama 55 hari untuk ke New Zealand dalam situsi yang melanda negara ketika ini.
“Benarkah seorang Timbalan Menteri PN memohon cuti 55 hari untuk melawat keluarga di New Zealand? Dan permohonan tersebut perlu dan mendapat kelulusan Perdana Menteri?
“Frontliners bertungkus lumus melawan Covid-19. Rakyat bermatian-matian ikhtiar untuk teruskan kehidupan,” soalnya menerusi Facebook.
Beliau berkata, rakyat terpaksa mengikuti SOP PKP kerana jika ingkar akan dikenakan didenda sehingga RM 10,000.
“Nak balik kampung apatah lagi, langgar SOP nanti silap-silap boleh didenda sampai RM10k! Menteri dan Timbalan Menteri ikut suka mereka? Perikatan Nasional ini kerajaan apa?,” perlinya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Edmund Santhara Kumar menafikan tuduhan beliau berulang alik ke New Zealand sejak Disember lalu serta mengabaikan tanggungjawab dalam kerajaan dan Ahli Parlimen.
Sebaliknya, beliau menjelaskan telah memohon cuti selama 55 hari bekerja melalui Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bagi mendapatkan kelulusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi satu surat pada 3 Disember 2020.
Susulan itu, katanya, permohonan itu telah disokong oleh Menteri Wilayah Persekutuan pada 10 Disember lalu dan diluluskan Perdana Menteri pada 18 Disember.