Dua keluarga memfailkan saman terhadap TikTok atas dakwaan menyebabkan anak mereka secara tidak sengaja menggantung diri semasa mencuba ‘Blackout Challenge’ yang dikatakan telah dipopularkan oleh algoritma aplikasi tersebut. 

Lalani Erika Walton, 8, dari Tennessee, meninggal dunia pada Julai 2021, manakala Arriani Jaileen Arroyo, 9, meninggal dunia di Milwaukee pada Februari tahun lalu selepas menggantung diri di rumah. 

Keluarga mangsa menegaskan bahawa kedua-dua gadis itu tidak membunuh diri dan mereka sebenarnya telah mencuba ‘Blackout Challenge’ yang menggalakkan pengguna aplikasi itu untuk mencekik diri mereka sehingga pengsan di hadapan kamera. 

Tuntutan saman itu mendakwa, algoritma TikTok berulang kali menayangkan video ‘Blackout Challenge’ di muka depan (for you) telefon bimbit mangsa. Halaman ‘For You’ adalah halaman utama di mana pengguna disajikan video rawak yang mungkin akan menarik minat pengguna berdasarkan video yang pernah ditonton sebelum ini. 

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Los Angeles County pada Jumaat lalu.

Walton ditemui tergantung dari katilnya di bilik dengan tali tergantung di bahagian lehernya. Apabila polis memeriksa telefon bimbit dan tablet miliknya, mereka mendapati mangsa telah menonton video cabaran tersebut berulang kali. 

Arroyo dari Milwaukee juga ditemui tergantung dengan tali anjing di ruang bawah tanah rumah keluarganya. Dia dikejarkan ke hospital dan dipasangan mesin bantuan pernafasan, Malangnya, doktor mengesahkan otak mangsa telah mati dan terpaksa menanggalkan mesin tersebut. 

Tahun lalu, seorang lagi gadis, Nylah Anderson dari Philadelphia ditemui tidak sedarkan diri di dalam almari bilik tidur ibunya. Sama seperti dua mangsa lain, dia didapati menggantung diri menggunakan tali dompet selepas menonton video yang sama. 

Ibu Nylah, Tawainna berkata, syarikat TikTok harus dipersalahkan atas kematian anaknya kerana memaparkan video berbahaya itu kepada Nylah. 

Nylah mengalami penderitaan yang mengerikan ketika dia bergelut dan berjuang untuk bernafas. Tawainna cuba memberi bantuan pernafasan kepada anaknya sehingga paramedik tiba. 

Nylah ditempatkan di ICU pediatrik dan disahkan meninggal dunia pada 12 Disember 2021. 

Keluarga mangsa memfailkan tuntutan ganti rugi dari TikTok yang dipertanggungjawabkan ke atas kematian mangsa kerana mereka bentuk aplikasi yang mempromosikan cabaran berbahaya kepada kanak-kanak. 

Namun, syarikat itu menegaskan bahawa aplikasi tersebut disarankan untuk pengguna berusia 13 tahun ke atas walaupun ia boleh digunakan oleh pengguna yang lebih muda. 

Dalam satu kenyataan sebelum salah satu daripada tuntutan itu difailkan, syarikat milik China itu berkata, “‘Cabaran’ yang  membimbangkan ini telah dilihat ramai orang daripada sumber (platform) lain selain TikTok dan ia tidak pernah menjadi trend di TikTok. 

“Kami tetap berwaspada dalam komitmen kami terhadap keselamatan pengguna dan akan segera mengeluarkan kandungan berkaitan sekiranya ditemui.”

Syarikat itu juga telah menyekat hashtag #BlackoutChallenge daripada enjin cariannya. 

Tetapi ibu Nylah berkata, syarikat itu sengaja mereka bentuk aplikasinya untuk mengekalkan perhatian pengguna mudanya pada sebarang kos. 

“Algoritma menentukan bahawa cabaran berbahaya itu disesuaikan dengan baik dan berkemungkinan menarik minat Nylah Anderson berusia 10 tahun dan akibatnya dia telah meninggal dunia,” katanya dalam tuntutan itu. 

Difahamkan, cabaran berbahaya itu sebelum ini telah disebarkan dari mulut ke mulut. Walau bagaimanapun, platform dalam talian telah menjadikan maklumat tentang permainan itu lebih mudah diakses dan telah menyebabkan lebih ramai kanak-kanak mencubanya secara bersendirian dan bukannya bersama rakan. 

“TikTok sudah tentu tahu cabaran berbahaya itu sedang menular melalui aplikasi mereka dan algoritma mereka secara khusus telah menjadikan cabaran itu trending,” dakwa Pusat Undang-Undang Mangsa Media Sosial. 

“Syarikat itu sepatutnya tahu bahawa kegagalan mengambil tindakan segera dan pentingnya untuk memadamkan penyebaran cabaran berbahaya itu boleh membawa maut dan akan menyebabkan lebih ramai penggunanya yang cedera dan mati, terutama di kalangan kanak-kanak,” tambahnya. 

Sumber: Daily Mail

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.