Isi rumah yang menggunakan elektrik pada jumlah yang amat tinggi tidak lagi akan menikmati subsidi daripada kerajaan.
Memetik laporan BH, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rumah perseorangan yang penggunaan elektriknya sangat tinggi umpama rumah itu menggunakan tiga kipas dan empat penyaman udara, maka mereka harus membayar kos sebenar dan tidak menikmati subsidi.
“Maknanya, B40 dan M40 tiada kenaikan (tarif elektrik), tetapi rumah-rumah yang menggunakan elektrik yang tinggi akan dikenakan bayaran ikut harga pasaran.
“Ini kena faham, tiada kenaikan bagi 90 peratus rakyat, tetapi bagi rumah-rumah yang menggunakan elektrik berlebihan termasuk penggunaan penyaman udara yang banyak (akan ada kenaikan tarif),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini. Yang turut hadir Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Perdana Menteri bagaimanapun tidak menyatakan bila penyelarasan kadar tarif elektrik akan dilaksanakan atau jumlah penggunaan yang akan dikategorikan sebagai ‘penggunaan amat tinggi’.
Mengulas lanjut Anwar berkata, kerajaan telah memulakan langkah pensasaran subsidi pada awal tahun ini dengan menolak cadangan kerajaan lalu untuk menaikkan harga elektrik.
“Jadi kita kekalkan harga elektrik bagi B40 dan M40, dan hanya dikenakan kenaikan kepada kilang-kilang besar melainkan yang ada kaitan dengan pertanian atau perniagaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya. – nasionalkini.my