GOLONGAN berpendapatan tinggi atau T20 tidak akan lagi menerima sebarang subsidi sama ada untuk penggunaan elektrik atau menunaikan haji, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, Pangkalan Data Utama (PADU) iaitu sistem penyelarasan data yang dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini akan menyelaras penilaian agihan subsidi kepada golongan yang layak.

“Kita tidak naikkan kadar elektrik melainkan untuk T20. Untuk T20 saja iaitu rumah-rumah besar, tidak akan diberi subsidi elektrik dan pangkalan data utama PADU akan dapat menyelaraskan semua.

“Ini sama dengan bantuan kewangan haji kepada B40 kita tambah, tetapi kepada T20 tidak ada lagi tambahan dan subsidi dari kerajaan, 

“Mereka akan belanja sepenuhnya kos haji kerana mereka dikalangan yang mampu,” katanya pada sesi soal jawab lisan pada hari pertama Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) yang mahu mengetahui dasar-dasar baharu dan drastik yang sudah dilaksanakan bagi melonjakkan ekonomi negara, dengan mengambil kira risiko penguncupan ekonomi dunia.

Sementara itu menjawab soalan tambahan daripada Ketua Pembangkang yang meminta kerajaan menjelaskan mengenai kekeliruan beberapa dasar kerajaan, Perdana Menteri menegaskan dasar kerajaan ketika ini sangat jelas.

“Kalau dasar kita celaru pertumbuhan negara tidak akan mengatasi Indonesia, Vietnam dan China.

“Kalau dasar celaru tidak mungkin pelaburan datang dan pelaburan ini pelaburan yang serius,” katanya. 

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *