TIADA keperluan bagi calon PAS isytiharkan harta kerana kebiasaannya ia membabitkan penjawat awam, kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Beliau berkata hanya apabila menjadi wakil rakyat terutama exco perlu membuat pengisytiharan harta kepada Menteri Besar dengan mengisi borang, tetapi tidak didedahkan kepada umum.
“Pendedahan ini mungkin ada aspek positif dan negatif sebab dalam dunia hari ini kadang-kadang apabila orang tahu kita ada wang dan harta banyak ia memberi implikasi negatif,” katanya.
Justeru beliau berkata, pihaknya mengambil pendekatan dengan tidak mengisytihar harta.
“Pemimpin PAS biasanya tiada harta dan jika hendak isytihar pun malu, sedangkan orang lain ada harta juta-juta.
“Cuma apabila membaca pengisytiharan harta timbul juga persoalan betul atau tidak yang diisytiharkan itu, kerana bimbang ia hanya untuk memberi imej yang baik kepada individu berkenaan sedangkan yang sebenarnya ia tidak sebut,” katanya.
Sementara itu Mohd Amar berkata perkembangan dan potensi Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilihat mampu menguasai Kerajaan Persekutuan,
Katanya ia berdasarkan gelombang dan suasana politik hari ini yang bukan sahaja mampu menang di Pahang mahupun Perlis, malah berpotensi menguasai Kerajaan Persekutuan dalam PRU15.
“Jadi kita berharap gelombang ini akan berterusan sehinggalah hari pengundian pada 19 November ini,” katanya.