Penyandang Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi akan mempertahankan kerusi menggunakan tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sumber berkata, BN Kelantan memberi laluan kepada Che Abdullah memandangkan beliau digugurkan daripada calon Perikatan Nasional (PN) sebagaimana yang diumumkan malam tadi.

“Alhamdulillah urusan mengisi borang untuk pencalonan sudah selesai dilakukan hari ini.

“Untuk maklumat lebih lanjut, tunggu kemunculannya pada Sabtu ini iaitu hari penamaan calon,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, pada Majlis Pengisytiharan Calon PN Kelantan malam tadi, penyandang Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan penyandang Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi digugurkan daripada calon PN pada PRU15.

Pengerusi PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata Parlimen Bachok menyaksikan PN meletakkan muka baru, Muhamad Shahir Che Sulaiman sebagai calon.

Manakala, bagi kerusi Parlimen Tumpat, PN mengumumkan EXCO Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi sebagai calon di kerusi berkenaan.

Pada PRU14, Che Abdullah menewaskan calon BN iaitu Datuk Wan Johani Wan Hussin dan Pakatan Harapan (PH), Datuk Nordin Salleh dengan majoriti 17,500 undi.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *