Kedudukan empat ahli dewan undangan negeri (ADUN) kerajaan yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka sebelum ini, dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Harapan (PH), petang ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR berkata, pihaknya menyedari terdapat pihak yang tidak menyenangi sekiranya empat ADUN berkenaan menjadi calon mewakili PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 2O November ini.

Ini termasuk melibatkan ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang secara terbuka telah ditolak oleh DAP Melaka sebagai calon parti itu.

“Ia akan dibincang petang ini, yang dibangkitkan oleh DAP itu seorang, tapi kita akan bincang. 

“Orang tanya mengapa kita jemput mereka malam itu dalam majlis, kerana dia yang mengambil langkah untuk membawa perubahan di Melaka. 

“Masa itu PH melaka menyokong, jadi bagi kita sekadar ucapkan terima kasih, itu wajar. Tetapi soal pilihan raya adalah soal lain pula, akan dibincang petang ini,” katanya.

ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron sebelum ini berkata, dia menyerahkan nasibnya dan tiga lagi rakannya itu kepada pucuk pimpinan PH untuk menentukan tempat yang bakal ditandingi mereka pada PRN Melaka kelak.

Idris berkata, beliau tidak boleh sewenang-wenangnya meminta kerusi tanpa mendapat ihsan daripada PH.

Beliau sebelum itu bersama Norhizam dan ADUN Telok Emas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan turut hadir dalam Majlis Taklimat bersama Presiden PKR di sebuah hotel di Melaka malam kelmarin.

Sebelum ini juga, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam sidang akhbar memaklumkan, penolakan Norhizam sebagai calon oleh DAP akan dibawa ke Majlis Presiden PH untuk dibincangkan.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *