Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Zahidi Zainul Abidin mencadangkan kerajaan menukar Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz kerana dikatakan gagal memberikan penjelasan berhubung isu Digital Nasional Berhad (DNB).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu, berkata hasil pertemuannya dengan Tengku Zafrul tidak menemui titik penyelesaian apabila beliau memaklumkan menteri kewangan itu mencabarnya ‘berlawan’.

Katanya, ia selepas beliau bertanya mengenai memorandum daripada Pemuda Umno untuk siasatan dijalankan berhubung pelancaran rangkaian 5G oleh DNB.

“Saya wakil MKT ingin mendapat penjelasan pasal isu memorandum, dia (Tengku Zafrul) tak mahu dengar, nak lawan kita lawan itu jawapan dia.

“Kalau pasal menteri kewangan ini saya minta dalam mesyuarat kalau boleh kita tukar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat MKT Umno, malam tadi.

Ditanya apakah reaksi ahli MKT yang lain berhubung cadangannya itu, Zahidi berkata, beliau sebagai ahli MKT hanya mencadangkan perkara tersebut untuk dibawa bincang ke peringkat Kabinet.

Sebelum ini, Zahidi menyokong gesaan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat DNB dan pelancaran rangkaian 5G yang sepatutnya dilaksanakan oleh syarikat itu, dengan menyifatkan pelancaran 5G adalah isu utama yang boleh menjadi satu lagi skandal seperti 1MDB.

DNB ialah syarikat kenderaan tujuan khas yang ditugaskan untuk menyediakan rangkaian 5G di seluruh negara, dan kemudian akses borong kepada syarikat telekomunikasi.

Zahidi sebelum ini menyatakan kekesalan kerana sering dipinggirkan dalam pembangunan 5G Malaysia serta tidak dijemput menyertai perjumpaan dan mesyuarat lain berkaitan DNB. MP

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.