Malaysia bersedia menghantar anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu misi pengaman di Palestin sekiranya ia diminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin.
Beliau berkata, keputusan untuk menghantar anggota ATM ke Palestin adalah berlandaskan keputusan PBB.
“Malaysia tidak boleh menghantar sewenang-wenangnya ATM ke sana (Palestin), jika kita ‘dijemput’ PBB barulah kita akan hantar.
“Ini kerana untuk menghantar anggota ATM ke Palestin ia melibatkan undang-undang antarabangsa bersama PBB,” katanya kepada pemberita selepas hadir taklimat kesiagaan perkhidmatan kesihatan ATM dalam membantu negara menghadapi wabak Covid-19 di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini.
Ismail Sabri berkata, ATM sebelum ini banyak terlibat dengan misi-misi pengaman bersama PBB antaranya seperti di Lubnan, Sudan, Filipina dan Sierra Leone.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu sama ada Kementerian Pertahanan akan menghantar anggota ATM ke Palestin bagi misi pengaman.