Dua orang pekerja projek pembinaan lebuh raya berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Alam Damai maut selepas struktur besi ‘Kren Launcher’ jatuh sebelum menghempap kawasan jalan raya itu.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, seorang mangsa warganegara Malaysia cedera parah apabila kereta dipandunya turut dihempap kren besi berkenaan.

“Kami menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada pukul 8.45 pagi dan seterusnya mengarahkan Balai Bomba Penyelamat (BBP) Cheras, BBP Tun Razak dan BBP Hang Tuah ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi itu, struktur besi pembinaan itu telah jatuh ke bawah dan menghempap sebuah kereta jenis Perodua Bezza,” katanya menerusi satu kenyataan tadi.

Katanya, kejadian itu melibatkan empat orang mangsa dengan seorang warga tempatan merupakan pemandu kereta berkenaan.

“Tiga orang mangsa lagi merupakan pekerja projek pembinaan tersebut, di mana dua daripada mereka disahkan meninggal dunia selepas terjatuh dari ketinggian 120 kaki.

“Seorang mangsa lagi masih tersangkut di landasan pembinaan lebuhraya dan kerja-kerja penyelamatan mangsa sedang dijalankan oleh anggota bomba,” ujarnya. -K! ONLINE

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published.