KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) telah bersedia menghadapi darurat sekiranya kerajaan mengisytiharkannya berikutan fenomena cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa, berkata, antara persediaan KKM ialah memastikan fasiliti kesihatan berada pada tahap terbaik bagi menerima kemasukan pesakit akibat strok haba dalam kapasiti ramai.
Bagaimanapun, beliau berkata, situasi semasa masih terkawal dengan hanya 15 kes dilaporkan setakat ini dengan satu kes kematian dilaporkan melibatkan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.
“Sebanyak 15 kes (yang dilaporkan) itu adalah empat kes strok haba, kelesuan (lima) dan kekejangan (enam). Cuaca panas memberi kesan secara global dan Malaysia juga tidak terlepas daripada (fenomena) El Nino,” katanya di Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah di Kuala Nerus, Terengganu, hari ini.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata, KKM sentiasa memantau perkembangan semasa, bersedia sekiranya berlaku lagi kes membabitkan pesakit strok haba pada bila-bila masa dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga seperti disaran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Pada masa sama, katanya, Kertas Putih Kesihatan yang dirangka bagi menambahbaik sistem kesihatan negara akan dibentangkan ke Kabinet pada 26 Mei ini sebelum dibacakan buat kali pertama di Parlimen. – Malaysiapost