BEKAS Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang baharu berkuat kuasa Jumaat lalu.
Perkara itu disahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, surat watikah pelantikan itu diserahkan kepada Asyraf Wajdi di pejabatnya, Jumaat lalu.
“Asyraf Wajdi telah dilantik, bukan desas-desus lagi. Saya telah serah watikahkannya pada hari Jumaat yang lalu.
“Sebab itu bukan berita politik, maka ia adalah sahih. Pelantikannya dibuat di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kerana MARA adalah agensi di bawah KKDW,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) di Kota Tinggi, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
Asyraf Wajdi, 47, yang juga Sekretariat Kerajaan Perpaduan sebelum ini pernah memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkuat kuasa 29 Julai 2015 hingga 10 Mei 2018.
Sebelum ini, jawatan Pengerusi MARA disandang Datuk Seri Azizah Muhd Dun yang juga bekas Ahli Parlimen Beaufort.
Terdahulu tular di media sosial beberapa keping gambar yang mendakwa Asyraf Wajdi dilantik sebagai Pengerusi MARA baharu.