Sebanyak 79 sekolah di Selangor diarahkan tutup sementara bermula hari ini hingga esok susulan penularan jangkitan Covid-19.
Menurut senarai yang diedarkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, ia membabitkan 19 sekolah di daerah Hulu Langat, 18 di Petaling Perdana dan 15 di Klang.
Baki 27 sekolah lagi daripada daerah Petaling Utama, Sepang, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat.
Menurut JPN Selangor, sekolah berkenaan ditutup selepas pengesanan jangkitan Covid-19 di sekolah terbabit pada 25 Apr.
Sementara itu, dalam satu catatan di Facebook, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata pihak Pejabat Pelajaran Daerah Klang akan memaklumkan sebarang perkembangan berkenaan sekolah terbabit.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan melaporkan 39 kluster daripada 83 kluster aktif membabitkan institusi pendidikan bermula 1 Januari hingga 20 April.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi mempersoalkan tindakan Menteri Pendidikan, Radzi Jidin yang didakwa tidak proaktif susulan peningkatan kluster pendidikan.
“Sikap Menteri KPM (Radzi Jidin) yang terus membisu dalam banyak isu kritikal hanya memburukkan lagi imej kerajaan Perikatan Nasional.
“Paling kritikal cara dia mengurus sekolah di waktu Covid-19. Dia tidak proaktif. Tidak ada perancangan rapi. Layakkah Radzi kekal jadi menteri kanan?,” katanya dalam catatan di Facebook.