Tindakan pihak tertentu menempelak Datuk Dr. Marzuki Mohamad kerana dikatakan berbohong ekoran pendedahan Setiausaha Sulit Perdana Menteri itu bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah setuju mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, diminta melihat semula bukti-bukti itu dalam pelbagai saluran media.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, mereka cuba menafikan fakta bahawa Dr. Mahathir sendiri pada 27 Februari 2020 secara terbuka menyatakan persetujuan menerima Muhyiddin sebagai Perdana Menteri jika beliau mendapat sokongan.

Katanya, kenyataan Mahathir itu disuarakan selepas pertemuan antara beliau dan Muhyiddin pada tarikh tersebut di Pejabat Perdana Menteri.

Beliau memberitahu, sebaik sahaja pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu berakhir, Dr. Mahathir mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang mana dalam sidang media itu beliau ditanya wartawan mengenai hasil pertemuan mereka tersebut.

“Jawapan yang diberikan Dr. Mahathir adalah jelas, iaitu ‘ada beberapa kemungkinan yang kami bincangkan, termasuk kemungkinan Muhyiddin akan menjadi calon. Jika semua orang memilih beliau, saya okey’.

“Dr. Mahathir ditanya lagi wartawan ini iaitu apakah ia sebagai calon Perdana Menteri dan beliau menjawab ya, sebagai PM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, perlu diingat, selepas Dr. Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari 2020, Muhyiddin mengumumkan keputusan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sehari sebelumnya bahawa semua ahli Parlimen Bersatu terus menyokong Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, temubual Yang di-Pertuan Agong secara individu dengan 222 Ahli Parlimen pada 25 dan 26 Februari 2020 menyaksikan Dr. Mahathir hanya mampu memperoleh sokongan 62 Ahli Parlimen walaupun pada pagi 25 Februari 2020, Dr. Mahathir memaklumkan kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas bahawa beliau memperoleh sokongan semua 222 Ahli Parlimen.

Katanya, hal itu berlaku kerana penentangan UMNO dan Pas yang memilih untuk berkecuali, serta penentangan PKR, DAP dan Amanah memilih untuk mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran hasrat Dr. Mahathir menubuhkan kerajaan perpaduan ketika dimaklumkan kepada pemimpin tertinggi parti-parti politik yang menemui beliau pada 25 Februari 2020.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ekoran kekalahan Dr. Mahathir itu, maka satu mesyuarat khas antara semua ahli Parlimen Bersatu dilangsungkan pada pagi 28 Februari 2020 yang mana Dr. Mahathir sendiri meninggalkan mesyuarat khas itu lebih awal untuk memberi kebebasan kepada mereka memilih Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Setelah semua perkara yang dipersetujui atau sekurang-kurangnya tidak ditentang Dr. Mahathir ini, namun secara mengejut Dr. Mahathir mengumumkan keesokan harinya bahawa beliau pada pagi itu telah bermesyuarat dengan para pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan menyatakan kesediaan beliau untuk dicalonkan semula sebagai Perdana Menteri dengan sokongan PH.

“Padahal keputusan Dr. Mahathir ini bercanggah dengan pengumuman oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya pada 24 Februari 2020, iaitu ‘Dalam Mesyuarat (Khas) Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada 23 Februari 2020 juga kita telah bersetuju untuk keluar daripada PH, inilah keputusan parti dan kita akur dengan keputusan parti’,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, mana-mana pihak diminta tidak mudah menuduh orang lain menipu tatkala bukti-bukti video atau audio serta rekod-rekod lain yang ada membuktikan segala peristiwa tersebut. 

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.