Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas didapati menyeleweng mengenai fakta melibatkan insiden kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) yang diwakili Lukman Sheriff Alias dan Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar serta Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Menurut satu kenyataan tersebut, memoir Tommy yang bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ itu telah menyebarkan perkara yang palsu dan tidak menghargai pengorbanan wira negara itu.

“Kami khuatir, kegagalan Tommy untuk memetik fakta sebenar akan merendah-rendahkan nilai dan harga nyawa barisan hadapan negara yang bermatian demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.

“Malah, rentetan peristiwa yang mengakibatkan kematian Muhammad Adib adalah sejarah hitam dalam keharmonian antara agama dan kaum di Malaysia.

“Realitinya, Muhammad Adib terkorban ketika menjalankan tugas sebagai ahli Unit EMRS, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dalam insiden rusuhan kaum di Kuil Sri Mariamman,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kematian Muhammad Adib yang terpalit dengan isu perkauman apabila ada pihak yang menutup dan memesongkan fakta sebenar sehingga timbul keperluan untuk mengadakan inkuiri menyiasat punca kematiannya.

“Proses ini yang berjalan dengan penuh tertib akan menjadi tidak bernilai jika Tommy dibenarkan untuk terus mengeluarkan kenyataan menyeleweng dalam memoirnya.

“Tommy sebagai Peguam Negara sepatutnya mengetahui maklumat daripada pihak polis tidak konklusif berbanding dengan penemuan fakta oleh koroner yang telah melalui proses undang undang dan dibuktikan.

“Adalah tidak munasabah dan tepat beliau bergantung semata-mata ke atas maklumat polis,” ujarnya.

Sehubungan itu, MACSA dan PPMM meminta semua pihak, termasuklah Tommy untuk menghormati bukan saja keputusan inkuiri yang telah dibuat oleh Mahkamah Koroner.

“Kami juga mendesak kerajaan untuk membuka semula kertas siasatan terhadap perusuh yang telah menyebabkan kematian Muhammad Adib.

“Di bawah Artikel 3, Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR), setiap orang mempunyai hak untuk hidup dengan bebas dan selamat,” ujarnya.

Sehubungan itu, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan hak tersebut terpelihara dan jika wujud pelanggaran kepada hak itu maka pihak yang melanggar hak ini harus dipertanggungjawabkan di bawah undang-undang yang berkuatkuasa, katanya.

Sinar Harian


By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.