Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan dipilih sebagai ‘poster boy’ Umno bagi menerajui kempen menawan semula Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
The Straits Times Singapore yang memetik sumber memaklumkan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB itu telah meraih sokongan di peringkat atasan dan pertengahan Umno sekali gus mendapat restu bagi pencalonannya di Kuala Selangor.
“Hanya akan diputuskan kemudian sama ada Tengku Zafrul akan bertanding di kerusi DUN atau Parlimen.
“Bagaimanapun, ia akan menjadi perkara positif dan galakkan untuk Umno Selangor,” kata sumber itu.
Menurut laporan akhbar itu, Tengku Zafrul juga perlu melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kewangan jika beliau bertanding di salah satu daripada tiga DUN di Kuala Selangor kerana beliau akan dilantik oleh Sultan Selangor sebagai Menteri Besar, jika Umno menang di negeri itu.
Beliau juga dilaporkan akan dilantik sebagai bendahari BN Selangor pada Ahad ini dalam satu majlis yang akan dihadiri oleh pemimpin tertinggi negeri gabungan itu.
Akhbar itu turut mengaitkan kejayaan Tengku Zafrul memenangi sekutu kerana mempunyai ramai pengikut di media sosial, selain hubungan rapat dengan tokoh DAP seperti Pengerusi dan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng, termasuk kerabat diraja.
Bagaimanapun, pada bulan lalu, Tengku Zafrul menolak khabar angin tentang cita-cita politiknya bahawa dirinya akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor.
“Fokus saya sekarang adalah kepada usaha pemulihan ekonomi negara.
“Sekarang ini saya masih bekerja di MoF (Kementerian Kewangan) dan tidak memikirkan soal politik. Kami telah menghadapi cabaran yang sangat sukar untuk menguruskan pemulihan ekonomi jadi saya memberi tumpuan kepada kerja saya,” katanya.
Apabila ditanya mengenai hasratnya untuk bertanding, beliau berkata, bukan pada masa ini.
Kerusi Parlimen Kuala Selangor kini disandang oleh Datuk Seri Dzulkefly Ahmad dari Amanah, yang dilaporkan tidak akan bertanding pada PRU15 kerana mahu memberi laluan kepada pemimpin muda parti itu. – Malaysiapost