SEBANYAK 15 peratus daripada rakyat Malaysia tidak pernah menjalani pemeriksaan gigi sepanjang hidup, manakala 50 peratus lagi masih belum memeriksa gigi mereka setiap dua tahun.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan menerusi hasil kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi oleh Kementerian Kesihaan Malaysia (KKM) pada 2019.

Bagi menangani perkara tersebut, beliau berkata, rakyat Malaysia kini boleh membuat janji temu pemeriksaan gigi di mana-mana kemudahan kesihatan KKM menerusi aplikasi MySejahtera mulai Selasa.

“Sistem Janji Temu MySejahtera baharu akan menawarkan janji temu untuk perkhidmatan pergigian pesakit luar.

“KKM juga akan memperkenalkan fungsi peringatan automatik melalui aplikasi berkenaan supaya orang ramai akan diberi makluman untuk hadir pada tarikh dan masa janji temu mereka,” katanya pada Selasa.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Radzi berkata, pesakit akan menjalani pemeriksaan, sesi konsultasi dan rawat gigi pada janji temu pertama.

Jika pesakit tersebut memerlukan rawatan susulan, satu janji temu khas akan diaturkan.

Beliau berkata, KKM turut komited ke arah pendigitalan sistem kesihatan selari dengan Pelan Strategik Digitalisasi 2021-2025.

“Sistem Janji Temu Digital menerusi MySejahtera mempunyai potensi untuk meningkatkan keberkesanan sistem kesihatan dan khidmat pelanggan. — The Star

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *