Kehilangan Zalina Azman dikatakan mendapat petunjuk baharu apabila ada seorang individu mendakwa pernah melihat wanita persis bekas personality TV3 itu pada Ahad lalu.

Menerusi ciapan di Twitter, Mosyuki Borhan memberitahu wanita seakan-akan Zalina muncul di kafe miliknya yang terletak di Shah Alam, Selangor dalam keadaan cemas dan takut.

“Ketika di kaunter hendak memesan makanan, dia toleh belakang, kanan dan kiri. Agak mencurigakan. Apabila saya tanya okay atau tidak, dia hanya mendiamkan diri.

“Pekerja yang lain memintanya duduk terlebih dahulu dan mengambil pesanan kemudian. Dia tidak banyak cakap tapi apa yang keluar daripada mulutnya adalah ‘saya takut besi’,” tulisnya.

Mosyuki berkata, wanita itu juga bercakap dalam keadaan takut seperti ada sesuatu yang buruk berlaku.

Katanya, kemungkinan wanita itu takut disebabkan di dalam kedainya terdapat banyak besi dan teragak-agak untuk masuk kerana tombol pintu diperbuat daripada besi.

“Masa nak keluar dia langgar sahaja pintu sebab tidak mahu pegang tombol. Saya kasihan melihatnya, nampak macam kelaparan tapi dia terus berlalu pergi. Seperti dia dalam takut dan terancam,” ujarnya.

Menurutnya, selepas mendapat tahu mengenai kehilangan bekas personality TV3 itu dia teringat kembali insiden yang berlaku di kafenya dan segera membuat laporan polis.

“Sebab perwatakan, saiz tubuh badan dan warna kulit sama macam dalam laporan polis.

“Polis kata pemakaian dia sama macam masa dia hilang. Pakai jaket apa semua,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis sedang giat mencari Zalina atau nama sebenar, Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu.

Anaknya, Mikhael Norman, 33, membuat laporan polis berhubung kehilangan bekas personaliti TV3 itu pada 29 November tahun lalu.

Zalina, 58, dilaporkan hilang ketika Mikhael cuba menghubunginya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.