KUANTAN – Suasana bertukar kecoh ketika pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi, di sini menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas seekor tapir ‘menziarahi’ sekolah berkenaan pagi Khamis.
Pengetua SMK Sungai Soi, Zolkifli Abd Ghani berkata, beliau dimaklumkan kakitangan bertugas kira-kira jam 10.30 pagi pada Khamis mengenai kehadiran haiwan berkenaan di kawasan sekolah sebelum menghubungi pasukan penyelamat.
Beliau berkata, Angkatan Pertahanan Awam (APM) tiba setengah jam kemudian dan melakukan kerja-kerja mengeluarkan tapir yang terjatuh ke dalam longkang sekolah itu.
“Insiden ini bukan yang pertama, sudah banyak kali, kami cuma bimbang haiwan itu merayau di dewan peperiksaan yang akan mengakibatkan pelajar sedang mengambil peperiksaan Pendidikan Seni dan Sejarah terganggu dengan kehadirannya,” katanya.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin ketika dihubungi berkata, sekumpulan anggotanya telah digerakkan ke lokasi kejadian sebelum berjaya mengeluarkan haiwan yang dianggarkan seberat 200 hingga 250 kilogram itu enam jam kemudian.