Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
Kenyataan Anwar itu susulan keputusan Umno baru-baru ini untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.
“Soal kerjasama dengan mana-mana pihak tak berbangkit setakat ini, walaupun kita jelas…kita dukung siapa saja yang boleh terima yang kita dukung tadbir urus yang baik, tolak rasuah, tolak segala bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa dan jaga (hak) orang Melayu, Bumiputera dan semua kaum,” katanya.
Anwar juga memaklumkan Pakatan Harapan (PH) telah mula mengadakan proses rundingan kerusi bagi menghadapi PRU-15.
Menurutnya, PH juga mengambil kira kerusi untuk parti-parti sekutu lain, termasuk cadangan yang dikemukakan Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (Upko).
“Majlis Presiden PH telah putuskan beberapa perkara, termasuk kerjasama jentera pilihan raya dan untuk memulakan rundingan kerusi melibatkan parti komponen PH terutamanya, dan juga mengambil kira peruntukan untuk parti rakan yang lain.
“Ada juga cadangan daripada Presiden Upko, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan ia akan diambil kira. Tetapi pada tahap ini, kita akan lantik seorang jurucakap,” katanya.
Anwar membuat kenyataan tersebut pada sidang media yang berlangsung sempena pelancaran inisiatif baru PKR bagi membantu wanita yang berdepan masalah, sempena Hari Wanita Antarabangsa di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.
Sementara itu, Anwar bagaimanapun tidak mengulas lanjut berkenaan cadangan Upko, yang merupakan parti pembangkang tetapi tidak termasuk dalam PH.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil turut menjelaskan rundingan kerusi antara parti komponen PH telah mencapai peringkat selanjutnya.
Katanya, kini pihak mereka memberi tumpuan kepada parti dalam PH sebelum mengadakan perbincangan dengan parti pembangkang lain.
Fahmi ketika mengulas berkenaan kerjasama antara Umno, beliau berkata ianya adalah tidak mustahil.
“Saya rasa itu bukan perkara mustahil, tapi garis panduan yang diberikan, contohnya oleh Anwar, sangat jelas.