Ibu kepada remaja lelaki yang melecur akibat dibakar rakan-rakannya pada ming­gu lalu mahu keadilan untuk anak­nya yang sedang melawan kesa­kitan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Wanita itu, Anisah Takzim, 50, berkata, perbuatan membakar anaknya yang berusia 15 tahun hidup-hidup amat kejam dan pelaku terlibat wajar mendapat hukuman yang setimpal.

Saya sedar anak saya nakal, tetapi kalau dia buat salah tangkap dan serah kepada polis bukannya bakar hidup-hidup.

“Jika (anak) dipukul sekalipun saya masih boleh terima (perbuatan itu). Saya tak sangka masih ada manusia yang begitu kejam dan tergamak berbuat demikian,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Perasing Jaya, Jabor di sini semalam.

Menceritakan semula keja­dian itu, Anisah memberitahu, dia terkejut mendapati anak bongsunya mengetuk pintu rumah pada pukul 3 pagi, 22 Julai lalu sambil mengerang kesakitan.

Ibu tunggal tiga anak itu berkata, ketika itu, baju yang dipakai anaknya melekat pada tubuh.

“Dia memberitahu kena bakar dan cuba memadam api dengan cara berguling atas tanah sebelum berlari pulang ke rumah.

“Saya tak fikir panjang lalu membawanya yang melecur kira-kira 40 peratus pada badan ke hospital kerana ketika itu kea­daannya kritikal,” katanya.

Tambah Anisah, dia berasa sedih mengenangkan nasib anak­nya lebih-lebih lagi apabila melihat remaja itu sedang bertarung kesakitan di ICU.

Kecederaan itu akan menyebabkan mangsa mengalami kecacatan kekal di badan.

“Setakat ini, keadaannya stabil dan dia sudah boleh bercakap dan makan meskipun dalam kuantiti yang sedikit,” katanya.

Kosmo! Online pada Sabtu lalu melaporkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dibakar rakan-rakannya selepas dituduh mencuri wang RM100.

Ekoran kejadian itu, seramai enam lelaki berusia 18 hingga 28 tahun ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan. Kosmo

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.