Parlimen Tambun bakal mencipta sejarah apabila menjadi tempat perpindahan terakhir Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas Permatang Pauh dan Port Dickson, tegas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu, beliau yakin pengundi di kerusi Parlimen itu akan membuat kejutan dan memberi kemenangan kepada penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Saya yakin pengundi di Tambun ini, pengundi yang matang, mereka telah lama melihat khidmat dan bakti Datuk Seri Peja (Ahmad Faizal), bukan sahaja ketika menjadi Menteri Besar, tetapi juga sebagai Menteri (Belia dan Sukan), sebagai Ahli Parlimen.

“Beliau merupakan seorang pemimpin yang adil kepada semua rakyat di  Tambun tanpa mengira kaum dan agama. Sebab itu kita lihat majlis pada petang ini cukup meriah dan diraikan oleh orang Melayu, orang Cina dan orang India,” kata Azmin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Jelajah Prihatin Parlimen Tambun di Taman Klebang Jaya, di sini, pada Khamis.

Azmin berkata, Parlimen Tambun tidak memerlukan orang luar untuk mewakili penduduk di kawasan itu.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata, pemimpin yang sering berpindah ke kawasan lain bukanlah seorang pemimpin yang baik.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) ini, Parlimen Tambun menyaksikan pertembungan empat penjuru termasuk Anwar dan Ahmad Faizal.

Dua lagi calon lain iaah dari Barisan Nasional, Datuk Aminuddin Md Hanafiah dan calon Pejuang, Abdul Rahim Tahir. Awani

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *