Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Amanah Mohamad Sabu hadir ke Istana Negara hari ini bagi memohon perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Permohonan itu mereka lakukan bagi memohon Seri Paduka menamatkan darurat yang dinasihatkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, pada kadar segera.

Mereka bersama pengerusi Jawatankuasa Tamat Darurat Khalid Samad, menghantar permohonan kedua menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembah memorandum mendesak darurat ditamatkan.

Surat berkenaan, diterima oleh Setiausaha Sulit Kanan Kepada Yang di-Pertuan Agong Kolonel Nazim Mohd Alim pada kira-kira 3.30 petang.

Meskipun cuaca panas terik, perkarangan pintu pagar istana dipenuhi penyokong daripada parti-parti pembangkang dan NGO yang mula tiba seawal jam 2 petang. Sepasukan polis turut dilihat mengawal situasi di kawasan pintu pagar.

Antaranya penyokong daripada parti Pejuang, DAP, PKR, Muda, dan NGO.

Ada dalam kalangan penyokong yang membawa kain rentang bertulis ungkapan “Ampun Tuanku #tamatdarurat”. Sebahagian daripada mereka memegang kain rentang berkenaan dan melaungkan ungkapan sama beberapa kali.

Bagi memastikan penjarakan fizikal, satu pita kuning direntangkan tidak jauh di hadapan pintu pagar istana, dan petugas media hanya dibenarkan berada di belakang pita itu untuk mendengar sidang media.

Sidang media diadakan selepas Mahathir, Mohamad dan Khalid keluar dari istana kira-kira jam 3.45 petang.

Bercakap kepada pemberita, Khalid berharap permohonan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dapat diberi pertimbangan.

Bercakap kepada pemberita, Khalid berharap permohonan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dapat diberi pertimbangan.

“Kami tuntut darurat ditamatkan dan Parlimen dibenar bersidang seperti biasa,” katanya.

Turut hadir di pekarangan Pintu 3 Istana Negara ialah Presiden Pejuang Tanah Air (Pejuang) Mukhriz Mahathir, beberapa ahli parlimen pembangkang serta beberapa wakil parti pembangkang.

Antara mereka, Marzuki Yahya, Amiruddin Hamzah, Khairuddin Abu Hassan, Ulya Aqamah Husamudin, Abu Hafiz Salleh Hudin dari Pejuang; Tian Chua, Maria Chin Abdullah, Sim Tze Tzin, Fahmi Fadzil dari PKR; Hannah Yeoh, Lim Lip Eng, Teresa Kok dari DAP.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim bagaimanapun tidak hadir kerana berada di Port Dickson.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *