Mesyuarat Kabinet hari ini tidak membincangkan mahu pun menyentuh  tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Perkara itu didedahkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang berkata, mesyuarat Kabinet hanya membincangkan persiapan menghadapi banjir berikutan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi (METMalaysia).

“Mengikut maklumat METMalaysia pada Oktober akan berlaku banjir sama ada awal atau akhir bulan, kita tidak pasti.

“Jadi kita perlu membuat persiapan. Jika banjir berlaku, semua akan terbabit. Pasukan petugas khas, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi berkaitan , Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang buat persiapan termasuk pusat pemindahan sementara,” katanya dipetik Berita Harian. 

Ditanya sama ada selamat untuk diadakan PRU15 tahun ini berikutan jangkaan banjir, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, perkara itu bergantung kepada kawasan dan lokasi serta mengambil kira mereka yang akan terbabit dengan kerja menghadapi banjir seperti agensi kerajaan, bomba dan polis.

“Bagi kita (PAS) lebih baik PRU15 tidak diadakan kerana sudah ada indikator akan berlaku banjir lebih awal,” katanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, cadangan untuk mengadakan PRU15 dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet bagi mendapatkan pandangan jemaah menteri.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.