Aktivis masyarakat, Abdul Rani Kulup Abdullah menafikan dia menerima ‘tajaan’ pihak tertentu bagi bertanding di Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Beliau memberitahu tidak mendapat tajaan sesiapa namun mengalu-alukan jika ada pihak yang mahu menajanya.

“Ayah mahu bertanding dan mahu menang, bukan suka-suka masuk bertanding atau ada terima tajaan mana-mana pihak sama ada syarikat atau orang perseorangan.

“Saya bekas tentera yang sudah bersara sejak lebih 20 tahun lalu. Berilah ayah peluang untuk menang dan dapat berkhidmat membantu masyarakat terutama warga tentera atau bekas tentera,” katanya yang menggelarkan dirinya ‘ayah’ setiap kali berbual.

Menurutnya, sebelum ini dia bercadang bertanding atas nama parti Barisan Penyatuan Nasional (BPN) tetapi belum mendapat kelulusan ROS kerana baru dipohon.

Katanya, dia menggunakan logo ‘pen’ kerana pen adalah benda penting yang sering dibawanya setiap kali keluar rumah.

“Sejak dahulu lagi ayah suka bantu orang dan kini ayah perlu berada di parlimen supaya lebih mudah membawa isu rakyat.

” Ayah jarang sakit, kalau rasa tak sihat pun sekejap sahaja, mungkin kerana selalu bantu orang, kesihatan badan jarang terjejas,” katanya.

Abdul Rani berdepan saingan sengit daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun daripada Pakatan Harapan (PH), Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Cikgu Rafiei Mustapha (PN), pelakon dan pengarah, Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri yang akan dicalonkan Gerakan Tanah Air (GTA) dan Calon Barisan Nasional (BN), P Kalamanathan.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *