Suasana PKP dan pandemik ini banyak menguji daya tahan dan kemampuan manusia. Ada yang berdepan dengan kesukaran sehingga membawa kepada keputusan yang amat pahit untuk diterima.

Ini merupakan realiti seorang warga emas yang dilaporkan bermalam di sebuah surau di Subang, apabila ditinggalkan oleh ahli keluarganya selepas solat berjemaah.

Salah seorang jemaah surau yang menemuinya telah berhubung dengan Lembaga Zakat Selangor yang hadir untuk memberi bantuan.

Tinjauan mendapati yang warga emas berkenaan tidak mempunyai zuriat dan tinggal bersama anak saudaranya.

Pada hari sebelumnya, ahli keluarganya itu telah mengajaknya ke surau untuk solat berjemaah.

Warga emas itu mempunyai penyakit kuman di kakinya dan tidak mudah menunaikan solat seperti biasa. Namun begitu, dia bersetuju untuk ke surau untuk solat berjemaah setelah dipujuk ahli keluarganya.

Selesai solat berjemaah, warga emas itu tidak dapat berjumpa dengan keluarganya lagi. Malah, beg pakaiannya juga ditinggalkan keluarganya di surau itu.

Ketika ditemui pegawai Lembaga Zakat Selangor, warga emas itu dalam keadaan lapar dan letih, selain keadaan kakinya yang sakit.

Setelah berunding dengan pegawai, warga emas itu telah bersetuju untuk ditempatkan di Rumah Kebajikan Rufaidah Home Care Services di Dengkil.

Zakat Selangor akan menanggung segala kos penjagaan dan rawatan warga emas itu.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *