KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegur kepimpinan UMNO yang menyindir dan sengaja berseloroh dengan mempelawa ahli dibuang parti itu untuk hadir ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.
Beliau yang kini digantung keahlian menyifatkan tindakan sedemikian hanya menggambarkan mentaliti dan pemikiran semasa kepimpinan UMNO yang langsung tidak membantu usaha memulihkan kedudukan parti dalam memenangi hati ahli-ahli di akar umbi.
“Saya pasti orang ramai lebih rindu kepada UMNO yang asal. Tidak perlu pelawa ahli yang dibuang ke PAU secara menyindir dan sengaja berseloroh.
“Ini hanya menggambarkan mentaliti dan pemikiran semasa kepimpinan UMNO, tidak membantu langsung usaha memulihkan kedudukan parti dalam memenang hati ahli-ahli di akar umbi,” katanya menerusi hantaran pada akaun Instagram miliknya hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan partinya sentiasa membuka pintu kepada bekas ahlinya untuk menghadiri PAU walaupun bukan sebagai perwakilan.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata bekas ahli parti Melayu itu mungkin boleh menjadi pemerhati di luar dewan ketika perhimpunan berkenaan berlangsung.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut dilapor menyatakan parti itu tidak pernah menghalang bekas pemimpin atau ahli yang dipecat untuk menghadiri PAU pada minggu ini.
Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO menegaskan, mereka yang dibuang parti itu tidak akan rugi kerana UMNO sudah menetapkan hukuman dengan tidak memerlukan khidmat mereka lagi.
“Yang dibuang tidak rugi kerana parti telah pun menetapkan hukuman, tidak memerlukan khidmat kami lagi. Yang rugi ialah UMNO yang tekesan dari pelawaan sinikal sedemikian,” katanya. – BH