Syed Hamadah Syed Othman dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu, berkuat kuasa esok.
Pelantikan itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP)turut dilantik sebagai Anggota Lembaga TH, menggantikan Datuk Seri Amrin Awaluddin.
“Kewibawaan serta kepakaran Syed Hamadah adalah diyakini mampu memacu kecemerlangan TH sebagai tonggak kejayaan ekonomi ummah serta institusi pengurusan haji terbaik dunia.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepadanya atas pelantikan ini. Selamat menjalankan amanah demi agama, negara dan ummah,” katanya.
Mohd Na’im berkata, Syed Hamadah mempunyai ijazah dalam bidang Statistik dan Matematik Aktuari dari Heriot Watt University, Edinburgh.
Menurutnya, Syed Hamadah juga pernah menjadi Pengarah di Actuarial Partners Consulting Sdn Bhd serta memiliki pengalaman luas dalam pengurusan korporat selain merupakan Felo di Fakulti Aktuari, United Kingdom dan Felo di Persatuan Aktuari Malaysia.
Sementara itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Amrin atas segala jasa bakti dan perkhidmatan terbaik yang diberikan sebelum ini kepada pengurusan TH.