SYARIKAT barangan kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL memfailkan semula saman terhadap Datin Seri Rosmah Mansor dalam usahanya untuk mendapatkan kembali 43 barang kemas yang semuanya bernilai RM67.5 juta.
Syarikat tersebut sebelum ini memulakan tindakan undang-undangnya pada tahun 2019 dengan menuntut supaya barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta dipulangkan kepadanya, tetapi menarik balik saman berkenaan.
Dalam saman asalnya, syarikat itu mendakwa pada 10 Februari 2018, ia menghantar barang kemas termasuk rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, kepada Rosmah yang diserahkan sendiri melalui dua ejennya.
Menurut saman terbaru yang difailkan pada 29 Mac lalu oleh firma guaman, Tetuan David Gurupatham & Koay di Mahkamah Tinggi, kos barang kemas yang dinyatakan adalah berjumlah RM67,461,027.37 iaitu bersamaan AS$14,567,270 pada kadar yang disediakan oleh Maybank pada 1 Mac 2023 dengan kadar faedah lapan peratus setahun dari tarikh pengisian hingga tarikh pemulihan.
Syarikat tersebut menuntut perintah mandatori bahawa barang kemas itu dipulangkan dalam keadaan munasabah dan baik dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman.
Sebagai alternatif, Global Royalty menuntut Rosmah bertanggungjawab dan membayar sekiranya barang kemas berkenaan atau mana-mana bahagiannya atas apa sebab mungkin tidak boleh diperoleh semula, tidak boleh dipulangkan dalam keadaan munasabah dan baik atau jika ia tidak boleh dipulihkan sepenuhnya atau sebahagiannya.
Dalam penyataan tuntutannya, Global Royalty selaku plaintif mendakwa Rosmah menandatangani nota konsainan mengakui penerimaan barang kemas itu mengikut terma dan syarat seperti dinyatakan, dan membuat panggilan telefon beberapa kali bagi meminta ia dkembalikan.
Dakwa syarikat itu, Rosmah yang dinamakan sebagai defendan mengesahkan secara bertulis melalui surat yang diakui sendiri bahawa barang kemas yang dikonsain kepadanya tiada dalam milikannya tetapi sebenarnya disita oleh pihak berkuasa Malaysia dan kini dalam jagaan mereka.
Dengan harapan dapat menyelesaikan perkara ini secara baik dan mengekalkan persahabatan yang erat, plaintif mendakwa ia sekali lagi meminta supaya defendan memulangkannya, tetapi masih gagal
abai dan enggan memulangkannya. MP