PASIR GUDANG: Kecenderungan segelintir sultan di negara ini melibatkan diri dalam bidang perniagaan atau perusahaan secara komersial dibimbangi boleh menimbulkan pelbagai persepsi atau tuduhan tidak baik terhadap institusi diraja.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, hal itu kerana kebenaran atau larangan sultan terlibat dalam perniagaan masih tertakluk dalam perlembagaan negeri atau Undang-Undang Tubuh negeri masing-masing.
“Mungkin juga undang-undang tubuh atau perlembagaan negeri senyap atau membisu dalam bab ini. Ada sembilan negeri di Malaysia yang mempunyai sultan dengan perlembagaan negeri masing-masing berbeza.
“Mengikut Perkara 34 (3) Perlembagaan Persekutuan ada menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang perniagaan atau apa-apa perusahaan komersial.
“Larangan terhadap Yang di-Pertuan Agong itu di bawah Perkara 34 (3) Perlembagaan Persekutuan terpakai dan mengikat sultan di negeri-negeri.
“Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan turut menyatakan bahawa jika mana-mana undang-undang negeri tidak selaras undang-undang Persekutuan, maka, undang-undang Persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang negeri dan undang-undang negeri itu adalah tidak sah, setakat yang tidak selaras itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor turut memberitahu, terdapat sembilan negeri yang mempunyai sultan dalam Persekutuan Tanah Melayu menurut Perjanjian Tahun 1948 sebelum Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah dan Sarawak membentuk Persekutuan Malaysia pada 1963 menerusi Perjanjian Malaysia.
“Jadi, undang-undang utama yang perlu dipatuhi oleh semua negeri dalam Persekutuan Malaysia yang mengamalkan sistem federalisme ialah Perlembagaan Persekutuan.
“Ini bermakna larangan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 34 (3) Perlembagaan Persekutuan terpakai dan mengikat sultan-sultan pemerintah negeri,” jelasnya.
Menurutnya, terdapat kebijaksanaan yang terserlah di sebalik Perkara 34 (3) Perlembagaan Persekutuan yang melarang sultan terlibat secara aktif dalam perniagaan atau komersial, iaitu pertamanya adalah untuk mengelak wujudnya konflik kepentingan.
“Keduanya, untuk menjaga maruah dan kedudukan sultan daripada sebarang pertikaian undang-undang yang boleh membawa baginda terheret ke Mahkamah Khas.
“Hal yang sama juga berlaku di peringkat negeri jika sultan-sultan pemerintah negeri terlibat secara aktif dalam bidang perniagaan atau komersial. Malah, kuasa kerajaaan negeri amat besar dalam hal-hal seperti tanah dan air, baik di daratan atau di lautan,” jelasnya.
Menurutnya, demi menjaga nama baik on institusi diraja, khususnya di Malaysia yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen yang mewakili kekuasaan rakyat dan Raja Berperlembagaan mewakili institusi feudal diraja, ada bijaksananya jika Perdana Menteri memberi nasihat supaya perkara tersebut dibawa dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu. –UTUSAN ONLINE